Alwaqti

Sisipan Nurani Muslim

Friday, January 14, 2022

HARI ESOK, TIADA SIAPA YANG TAHU

Kehidupan ini penuh dengan rahsia tersendiri. Kadang dipenuhi dengan kegembiraan. Keseronokan. Kadang seseorang dihimpit dengan musibah dan kedukaan. Begitulah hakikatnya. Tapi percayalah semuanya pasti akan berubah dan tiada yang kekal. Nikmat yang kita kecapi, suatu masa akan hilang dan tidak lagi dapat dinikmati. Kesusahan yang dirasai juga pasti akan berkurang dan hilang suatu masa nanti. Jangan mudah mengalah dalam kehidupan. Selagi nyawa dikandung badan, berusahalah sehingga titis darah dan keringat yang terakhir. Kadang manusia terlalu fokus pada pengakhirannya, hingga dia lupa pada erti sebenar mujahadah dan sabar. Ingatlah Allah tidak pernah melihat pada hasil yang diperoleh, tapi Dia melihat pada mujahadah dan daya kesungguhan hamba-Nya dalam mencapai secebis makna dalam kehidupan. Pasakkan tekad dan teruslah mara ke hadapan, berbekalkan tawakkal yang tinggi pada yang Maha Esa. Sesungguhnya, hari esok, tiada siapa yang tahu...

Friday, February 18, 2011

Menuju JalanMu (Episod 1)

'Allahu akbar...Allahu akbar',alunan azan subuh memecah keheningan suasana pagi. Seketika itu, kelihatan Mak Limah sudah tercegat di hadapan pintu bilik tidur Haziq.

Mak Limah: Haziq! Haziq! Bangun nak! Dah masuk subuh ni.....
Haziq: Hmmmmm......Ye lah! Ye lah! Kejap lagi Ziq bangunlah!
Mak Limah: Eh, bangunlah sekarang! Boleh kita berjemaah dengan ayah sama-sama kat
masjid............
Haziq: Alaaaa....ibu ni banyak bunyi la pulak! Kejap lagi Haziq solatlah! Bukannya Ziq
tak sembahyang langsung! Hishh!

Mak Limah terdiam sebentar. Dia terkenangkan kata-katanya terhadap Haziq sebentar tadi. Adakah dia telah menuturkan sesuatu yang mengguris perasaan anak bongsunya sehingga Haziq sanggup berkata begitu kepada ibunya sendiri? Atau dia sengaja bertindak begitu untuk melepaskan diri? 'Ah!!! Itu semua tak penting! Itu semua mainan perasaan! Limah, kau kena kuat! Kau kena kuat!' Mak Limah cuba mengembalikan keyakinan dirinya yang hampir hilang seketika tadi. Dia agak hairan dengan sikap Haziq tadi. Anak bongsunya itu seperti sudah berubah 180 darjah. Jikalau dulu setiap tutur kata dan jawapan yang diberikan cukup lemah lembut dan penuh dengan kesopanan. Haziq tak pernah meninggikan suara dalam apa jua keadaan. Entah kenapa agaknya angin dirinya hari ini tiba-tiba berubah?

Sambil berfikir, Mak Limah terus menuju ke ruang tamu rumahnya untuk menunaikan solat subuh bersama-sama suami tercinta dan anak sulungnya, Zafirah. Sesampainya di situ, dia terus menghamparkan sejadah lalu mengangkat takbiratul ihram; dengan berimamkan suaminya, Pak Man. Dengan bersungguh-sungguh Mak Limah cuba mengosongkan mindanya daripada segala perkara keduniaan untuk mendapatkan khusyu' dalam solat..

'Kepada Engkau Kami sembah dan kepada Engkau jualah tempat Kami memohon pertolongan'

'Tunjukkanlah kepada Kami jalan yang lurus'

'Yakni jalan-jalan yang Engkau kurniakan nikmat baginya dan bukanlah bagi jalan-jalan orang yang sesat'

Kalbunya tersentuh lantaran ayat itu dibacakan. Keinsafan mula dirasai dalam dirinya. Setiap kali kedengaran ayat ini Mak Limah terasa begitu kerdil dan amat lemah. Dia cuba membayangkan dirinya di hadapan Rabbul Jalil dlam keadaan dirinya yang penuh dengan lumuran dosa. Astaghfirullahalazim!!! Hampir-hampir sahaja air matanya berlinangan; namun mujurlah mampu ditahannya. Dan pada saat itu, Mak Limah terus berdialog dengan tuhannya dengan penuh khusyu'dan tawadu'.....

Seusai bersolat, Mak Limah masih duduk terdiam di samping Pak Man dan Zafirah. Kebiasaannya mereka akan bertafakur dan berzikir sebentar setelah mengerjakan sembahyang fardhu. Memohon keampunan Pencipta, memuji dan membesarkan-Nya walaupun seketika jelasnya mampu menjernihkan jiwa serta membugarkan kembali ketaqwaan kepada Allah S.W.T. Ini amat-amat penting bagi memastikan kestabilan iman pada setiap waktu. Pak Man mengalunkan zikir dengan penuh penghayatan sambil diikuti oleh Mak Limah dan anak perempuannya...

Setelah selesai berzikir dan berdoa, mereka masih belum berganjak daripada tikar solat. Untuk kali ini, mereka akan mendengar tazkirah daripada Pak Man. Lazimnya, Pak Man akan meluangkan masanya beberapa minit selepas solat untuk mengingatkan ahli keluarganya agar sentiasa merancang hidup dengan sebaiknya untuk kehidupan hari ini. Dia tidak mahu isteri dan anak-anaknya mensia-siakan setiap saat dalam kehidupan mereka. Baginya setiap saat yang berlalu adalah suatu kerugian jika tidak dimanfaatkan dengan amalan yang baik..............

Pak Man: Limah, mana perginya anak kita Haziq ni? Tak solat sama-sama dengan kita
ke?
Zafirah: Ha'ah bu. Adik tak turun pulak hari ni. Dia sakit ke?
Mak Limah: Entahlah, tadi ibu kejutkan dia; tapi dia marah-marah pulak dengan ibu.
Ibu pun tak tau apa sebabnya dia marahkan ibu.

Pak man agak terkejut dengan penjelasan isterinya. Agak pelik apabila mendengar anak bongsunya itu marah kepada ibunya. Ini kerana jarang-jarang sekali melihat Haziq memarahi seseorang lebih-lebih lagi kepada Mak Limah yang selama ini selalu memanjakan serta menjaganya dengan baik.

Pak Man: Hmmm....kamu tak tanya pulak kat Haziq sebab apa dia jadi macam tu? Manalah
tau takut-takut dia ada tekanan perasaan disebabkan masalah lain ke?
Mak Limah: Tak terfikir pulak abahnya.....
Pak Man: Haaa....itulah, lain kali kita kena tanya dekat anak-anak kita kalau mereka
ada masalah. Setakat bagi kasih-sayang dan kemewahan tak cukup
sebenarnya...Apa yang penting sebenarnya ialah perhatian kita terhadap
mereka. Macam kawan, mereka juga perlukan seseorang sebagai tempat
berkongsi masalah dalam rumah ini. Maka kita sebagai ibu bapa perlulah
sentiasa mengambil berat tentang perihal anak kita daripada sekecil-kecil
perkara hinggalah sebesar-besar perkara...
Mak Limah: Ya lah abahnya....cuba abang pulak pergi tanya dekat anak kita tu.
Manalah tahu terbuka pula hatinya nak bagi tahu
Pak Man: Aaa...ye lah, ye lah.....saya cuba tanya dia sekejap lagi......

Setelah itu, Pak Man meneruskan tazkirahnya seperti biasa. Seusai memberi tazkirah, dia terus bergerak ke kamar Haziq untuk berjumpa dengan anak kesayangannya itu. Sambil berjalan tapak demi tapak, Pak Man berfikir dan cuba menyusun kata-katanya agar mudah baginya mengorek segala kekusutan yang berada dalam diri anak bongsunya itu. Pada masa yang sama, dia juga memohon agar Allah sentiasa mengurniakan kesabaran sepertimana sabarnya para 'Ulul 'Azmi dalam menghadapi apa jua rintangan kehidupan..

Sesampainya di hadapan pintu bilik Haziq, Pak Man terus memberi salam dan meminta keizinan untuk masuk ke dalam. Hampir tiga kali dia melakukan perbuatan yang sama namun masih tiada respons daripada anaknya. Lalu dia cuba memulas tombol pintu bilik anak bongsunya itu. Mujurlah dia tidak menguncinya.

Saat melangkah ke dalam bilik itu................................

AKAN BERSAMBUNG.............

Tuesday, September 7, 2010

Wednesday, August 11, 2010

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN!!!!

Selamat Datang Wahai Ramadhan!!!!!

Kini Ramadhan menjelma kembali sekali lagi dalam kamus hidup anda...Begitulah betapa untungnya diri anda kerana masih lagi dipertemukan dengan satu-satunya bulan yang di dalamnya dipenuhi dengan keberkatan dan kemuliaan. Dijanjikan pahala berlipatkali ganda bagi setiap amalan yang dilakukan. Dibuka seluas-luasnya pintu taubat untuk kita mencari keampunan Ilahi, yang mungkin tak selalu kita lakukan pada waktu-waktu lain. Bukan itu sahaja, Ramadhan juga membolehkan kita mengerjakan ibadah Tarawih, satu-satunya solat sunat yang dilaksanakan pada setiap malam di bulan Ramadhan..Malah bulan ini juga menjanjikan kepada orang beriman satu malam yang penuh barakah; malam lailatul qadar...

Seperti firman Allah yang berbunyi:

"Yakni(lailatul qadr) yang mana lebih baik daripada seribu bulan"

(surah Al-Qadr: 3)


Jadi kelebihan bulan Ramadhan jelasnya tiada tandingan. Setiap detik dalam bulan mulia ini menjanjikan kepada kita keberkatan dan rahmat Allah S.W.T. Justeru, gunakanlah sebaik-baiknya kesempatan yang ada untuk kita bertaqarrub kepada Pencipta yang Agung. Kerana mungkin inilah kali terakhir kita bakal bertemu dengan Ramadhan dan tiada peluang kedua untuk kita. Berpuasalah dengan seikhlas hati, moga ia mampu mentarbiyyah diri menjadi insan yang lebih cemerlang kelak.

SELAMAT BERPUASA!!!!!

Monday, June 21, 2010

Anugerah Ilahi

Bismillahirrahmanirrahim....

Segala puji hanyalah milik Allah S.W.T, tuhan yang satu-satunya memiliki kekuasaan bagi kesuluruhan alam ini serta isinya. Tiada yang lebih berhak untuk disembah melainkan-Nya, dan kepada-Nya jualah tempat kita memohon petunjuk dan pertolongan. Sepertimana dalam firman Allah S.W.T:

"Kepada Engkau kami sembah, dan kepada Engkau jualah tempat Kami memohon
pertolongan"
(Al-Fatihah,ayat ke-4)

Saudara seislamku sekalian,

Manusia ataupun 'insan' dalam istilah arab, merupakan antara makhluk ciptaan Allah yang cukup unik dari segi mata kasar. Hal ini kerana manusia diciptakan dengan penuh kesempurnaan baik dari segi lahiriah mahupun batiniah.

Firman Allah S.W.T:

"Sesungguhnya Kami jadikan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian"

(At-Tin,ayat ke-4)

Misalnya, dari segi lahiriah, manusia dikurniakan 5 deria pendengaran yang cukup berharga dalam menjalani kehidupan seharian di dunia fana' ini. 2 pasang mata; untuk melihat keindahan serta keagungan ciptaan Ilahi, 2 pasang telinga; mendengar dan meneliti bunyi-bunyian yang wujud di alam ini, hidung; untuk menghidu kesegaran dan keharuman udara di angkasa raya, lidah; bagi merasa kelazatan buah-buahan serta makanan, dan 2 pasang kaki; berjalan mengembara dunia Ilahi yang cukup luas. Bukan itu sahaja, manusia juga sebenarnya telah dikurniakan suatu anugerah yang tidak ternilai harganya; yakni akal. Akal membolehkan manusia membezakan antara hak dengan batil, baik dan buruk, serta membantu mereka bertindak secara rasional dalam melakukan sesuatu perkara. Inilah kelebihan utama yang tidak ada pada makhluk lain melainkan manusia sahaja.

Mengapa manusia sahaja mempunyai akal? Persoalan yang mungkin pernah terdetik di sanubari kita, cuma kadangkala kita tidak mengambilkisah serta mengabaikannya. Walaubagaimanapun, hendaklah kita senantiasa ingat bahawa Allah menjadikan manusia, yang tidak lain tidak bukan sebagai khalifatul alam, untuk mentadbir segala urusan di muka bumi ini. Timbul lagi satu persoalan, kenapa agaknya Allah memilih manusia sebagai pemimpin tetapi bukan binatang, tumbuhan, atau makhluk-makhluk lain? Jawapannya kerna kita memiliki akal. Seperti yang ana katakan, akal membolehkan manusia berfikir dan bertindak sewajarnya.Jadi, mana mungkin haiwan serta tumbuhan yang melata di bumi Allah ini dilantik sebagai khalifah sedangkan mereka tidak dikurniakan kebolehan berfikir, iaitu akal. Masha Allah.....

Sidang pembaca sekalian,

Begitulah hebatnya kurniaan yang Allah berikan kepada hamba-Nya. Cuba bayangkan sejenak, sekiranya manusia tidak diberikan akal, maka siapakah yang selayaknya menjadi pemimpin di dunia ini? Mungkinkah alam ini akan tetap terpelihara jika tiada seorang pun mampu menakhodai bahtera alam ini? Oleh itu, bersyukurlah dengan segala yang dikurniakan oleh-Nya kepada kita. Terimalah seadanya ketentuan yang telah ditetapkan kepada kita, kerana pada tiap-tiap kejadian yang berlaku pasti tersembunyi hikmahnya. Akhir kalam, renungilah maksud potongan ayat Al-Quran di bawah, semoga ia mampu menjadikan kita insan yang sentiasa bersyukur..Wallahua'lam.


"Sekiranya kamu bersyukur, nescaya akan aku tambahkan nikmatku kepadamu,
sebaliknya jika kamu kufur, ingatlah bahawa azab Allah itu amatlah
pedih...."

Thursday, April 29, 2010

Tarbiyyah Kehidupan

Bismillah......

Segala puji dihadapkan kepada tuhan yang satu, Allah Azza Wa Jalla, kerana dengan kekuasaannya, sekali lagi ana berpeluang menukilkan sesuatu untuk tatapan saudara-saudari sekalian. Alhamdulillah, lafazkanlah kesyukuran kerana sekali lagi kita berpeluang untuk berada di muka bumi ini sambil menghirup kesegaran udara yang sudah pasti tiada tandingan bagi yang lain..

Baiklah, hari ini, ana ingin berkongsi sedikit pengalaman yang cukup berharga pada diri ana sendiri; dan insyaallah berguna kepada antum sekalian. Pengalaman ini jelas sekali berkait rapat dengan keyakinan kita kepada pencipta alam ini, Allah S.W.T. Pengalaman ini sebenarnya ana kutip sepanjang melalui proses pembelajaran teknik pemanduan kereta..

Sebagai pengetahuan, ana terpaksa melalui 3 kali ujian JPJ sebelum memperoleh lesen. Situasi ini sememangnya menyulitkan ana bukan sahaja dari segi kewangan malah kesuntukan masa. Ana terpaksa menghabiskan banyak masa semata-mata untuk belajar memandu. Begitulah pendeknya fikiran ana tatkala runsing memikirkan masalah tersebut.

Akan tetapi, di sebalik ulangan tersebut, ana peroleh suatu nasihat yang cukup bermakna, yang hadir daripada mulut tenaga pengajar ana sendiri. Pada mulanya ana menyangka beliau seorang yang garang kerana beliau merupakan bekas tentera. Ini membuatkan ana bertambah takut untuk belajar dengannya. Namun, tanggapan ana sememangnya salah. Ana cukup kagum dengan caranya mendekati anak didiknya. Walaupun beliau seorang yang tegas, tetapi beliau tak pernah menjatuhkan mahupun memperkecil semangat anak didiknya; tak seperti sesetengah tenaga pengajar yang kadangkala terus 'membantai' anak muridnya secara melulu yang membuatkan mereka hilang minat untuk belajar.

Malah, apa yang lebih bermakna, beliau pernah berpesan kepada ana...

'Hatta, kenapa dengan kamu? Kenapa gelabah sangat nak tukar gear masa dekat jalan raya? Susah sangat ke nak buat 'bukit'? Pak cik rasa kamu ni takut sangat dekat JPJ masa 'test'. Orang lain yang pak cik ajar ok je...

Kamu kena ingat, JPJ tu manusia. Buat tak tahu je. Anggap diorang tak ada masa kamu sedang ambil ujian. Dan satu lagi, kamu kena yakin dengan Allah. Semua yang terjadi ini atas kehendak-Nya. Mungkin Dia nak uji kamu, nak tengok sejauh mana kesabaran kamu bila ditimpa masalah. Jangan lupa, setiap kali nak mulakan sesuatu baca isti'azah dan basmalah. Mintak perlindungan daripada Allah. Ingat, kamu tu orang Islam. Jangan lupa pada Allah. Dia sahaja yang boleh tolong kamu. Orang cina dengan india pun sembahyang jugak, berdoa dekat tuhan mereka minta dibantu. Inikan kamu orang Islam.'

Kata-kata itulah yang banyak menginsafkan ana. Sehebat mana pun kita, namun kadangkala kita juga terlupa akan sesuatu perkara. Kata-kata itu mengajar ana supaya sentiasa yakin kepada Allah dan banyak bergantung harap kepada-Nya. Kerna itu sahaja yang mampu menjadikan kita mukmin yang kuat dan disayangi Allah S.W.T. Wallahualam....

Thursday, February 18, 2010

Jaga Pandangan

Assalamualaikum. Bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana keizinan-Nya membuka peluang untuk ana berkongsi pendapat bagi tulisan kali ini. Tidak dapat dinafikan, mata merupakan antara pancaindera yang dikurniakan Allah S.W.T kepada setiap makhluk ciptaan-Nya. Jadi, apakah sebenarnya fungsi mata? Mata sebenarnya bukanlah sekadar untuk melihat keindahan alam ini secara lahiriah sahaja, namun manusia dikurniakan mata untuk melihat, merenungi, dan mentafakuri setiap kejadian yang ada di alam ini. Kita mungkin bernasib baik kerana masih dikuriakan sepasang mata yang cukup sempurna, cantik, dan menawan. Berbeza sekali dengan golongan buta, mereka tidak mampu melihat serta menikmati keindahan alam ini seadanya. Mereka tidak berupaya untuk melihat orang lain sepertimana kita melihat ahli keluarga sendiri setiap hari di rumah. Mereka juga tidak boleh menatap keindahan ciptaan Ilahi seperti tumbuh-tumbuhan dan haiwan sedangkan kita, manusia biasa yang cukup kesempurnaannya mampu berkelakuan sedemikian. Subhanallah, betapa besarnya nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita selama ini.

Walau bagaimanapun, adakah kita benar-benar menjaga pancaindera tersebut? Adakah kita menggunakan mata untuk membaca kalamullah dan merenungi kejadian alam? Atau semata-mata digunakan untuk menonton adegan panas bagi tujuan memuaskan nafsu sendiri? Dua kemungkinan inilah yang akan membezakan seseorang manusia di sisi tuhannya, sama ada mereka untung atau rugi. Beruntunglah bagi sesiapa sahaja yang menuruti perintah Allah dengan tulus tanpa apa-apa keraguan kerana mereka bukan sahaja mampu mengawal nafsu malah mengekang diri daripada tercampak dalam kancah kemaksiatan. Sebaliknya, rugilah bagi sesiapa sahaja yang menurut hawa nafsu semata-mata kerana mereka tidak akan memperoleh apa-apa kebaikan melainkan keseronokan melihat kebatilan yang hanya mendatangkan kemurkaan Pencipta.

Saudaraku,

Sesungguhnya Allah akan sentiasa menguji hamba-Nya walau dalam keadaan apa sekalipun. Ujian ini bukanlah untuk menyusahkan hamba-Nya tetapi hanya untuk melihat sejauh mana kemantapan taqwa dan iman mereka kepada Yang Maha Agung. Jadi, mata yang dianugerahkan sebenarnya bukanlah untuk kepuasan dan keseronokan semata-mata. Anggaplah ia sebagai satu ujian dan tarbiyyah agar kita mampu memanfaatkannya sebaik mungkin ke arah kebaikan, insyaallah... Hindarkan diri daripada melihat kemaksiatan. Sentiasa berusaha dan bertawakal kepada Ilahi moga-moga kita terus istiqamah dalam menggunakan nikmat mata sebaik-baiknya.

Akhir kalam, ana berdoa moga-moga coretan ini mendatangkan manfaat dan keinsafan kepada diri ana sendiri juga para pembaca yang lain. Wallahua'lam